Sunday, July 7, 2013

Amalan dan Kelebihan Bulan Ramadhan


KEWAJIPAN BERPUASA

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 dan 185 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
“Masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu..”.

Sesungguhnya bulan Ramadhan bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menghayatinya.

FADHILAT DAN KEUTAMAAN RAMADHAN

Terdapat puluhan hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak bahkan faedah di dunia ini.

Walau bagaimanapun faedah dan manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa, tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak mendapatnya.
Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud hadis Rasulullah s.a.w mengenai fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan serta amal ibadah yang sewajarnya dilakukan.

· Pintu langit dibukaSabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

· Pintu-pintu syurga dibuka
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukankejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.”
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

· Amal ibadah bulan RamadhanDalam khutbah terakhir bulan Syaaban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan berbagai amal ibadah sepanjang bulan Ramadhan:

1. Solat sunat tarawih.
2. Solat-solat sunat yang lain.
3. Bantu membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya.
4. Memberikan hidangan berbuka puasa.
5. Banyakkan membaca tahlil (syahadah, berzikir, bertasbih dan seumpamanya).
6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah s.w.t.
7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka.
8. Banyakkan bersabar, kerana pada bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita. Ini termasuk jangan mengumpat, berkelahi, boros, fitnah-memfitnah, berbohong dan sebagainya.

· Ganjaran pahala ibadah dan fadhilatnya 
Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat-ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali ganda; manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Pada keseluruhannya, bulan Ramadhan ini terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Untuk mendapat rahmat Allah s.w.t yang mencurah-curah.
2. Untuk mendapat keampunan Allah s.w.t.
3. Untuk mendapat pelepasan dari azab neraka.

FADHILAT YANG LAIN-LAIN

· Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.
· Doa orang yang berpuasa dimakbulkan Allah s.w.t.
· Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka puasa dan apabila bertemu dengan Allah pada Hari Kiamat kelak.
· Orang yang berpuasa disertai menjauhi segala larangan semasa berpuasa, dan mengerjakan ibadah sunat seperti bertahlil, bertasbih dan seumpamanya, akan dibinakan mahligai yang indah di syurga.
· Setiap kali sujud orang yang berpuasa Ramadhan dikurniakan seribu tujuh ratus kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.

Demikian sebahagian dari berbagai fadhilat dan kelebihan orang yang berpuasa Ramadhan.

SOLAT SUNAT TARAWIH

Ibadat yang paling besar pahalanya ialah menghayati setiap malamnya dengan solat sunat Tarawih. Menurut sebah hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang lebar, terdapat berbagai fadhilat dan faedah termasuk diampuni dosa-dosa dirinya dan kedua ibu bapanya, diberi pahala seumpama pahala tawaf para malaikat di Baitul Ma’mur, bersih dari dosa seperti baru dilahirkan, dibinakan mahligai di syurga, dinaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat dan berbagai-bagai lagi.

Pengertian Solat Tarawih

Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat, fardu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih, sebelum di sambung semula.
Tujuan utamanya ialah untuk memneri peluang dan galakan kepada umat Islam supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain.

Qiamu Ramadhan

Solat Tarawih juga disebut dengan Qiamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan seelepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Sebuah Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud bahawa sesiapa yang mengerjakan Qiamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Lailatul-Qadar

Satu lagi keistimewaan bulan Ramadhan ialah rahsia Allah s.w.t. menurunkan malam Lailatul-Qadar dalam salah satu malam dalam bulan Ramadhan tersebut.

Di dalam surah al-Qadr, Allah s.w.t. menjanjikan bahawa mereka yang beramal diberi ganjaran seperti beramal ibadat selama 1,000 bulan atau 83 tahun (maksud al-Quran, surah al-Qadr).

Walau bagaimanapun, hanya Allah s.w.t. jua yang mengetahui, pada malam yang manakah Lailatul-Qadar itu diturunkan. Kebanyakan para ulama menyatakan bahawa Lailatul-Qadar itu diturunkan pada salah satu dari sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadhan. Setengah ulama pula menyatakan bahawa Lailatul-Qadar itu diturunkan pada salah satu malam yang ganjil dari sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan.

Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudkan bahawa umat Islam sewajarnya menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, iktikaf dalam masjid, berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih setahun sekali ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia dan penuh keberkatan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis riwayat Bukhari)

0 comments:

Post a Comment