Friday, August 3, 2012

Keberkatan Ilmu Begitu Bernilai

Dalam kita sibuk mencari ilmu baik belajar secara formal atau tidak formal, perkara yang paling utama sekali adalah soal keberkatan. Keberkatan ilmu ini penting bagi memastikan ilmu yang kita dapat diredhai Allah SWT. Bagi seorang yang bergelar pelajar, keberkatan ilmu sangat perlu dititikberatkan. 

‘Sewaktu kita di sekolah menengah dahulu, cikgu-cikgu sering berpesan tentang berkat. “Jangan kurang ajar dengan guru-guru, tak berkat ilmu kamu”, ”Jangan ponteng kelas, hilang berkat”, “Jangan meniru, jangan mengumpat cikgu di belakang, jangan riak kalau kamu pandai,dan pelbagai lagi “jangan” yang dikaitkan dengan keberkatan. 

Kadangkala kita merasakan sudah bertungkus lumus mengulang kaji. Sudah berpuluh kali menyelak nota yang sama. Masih juga susah untuk faham. Rasa terhijab dan sebagainya. Bila sudah faham pula, tiba-tiba lupa a.k.a blank di dewan peperiksaan. Jika hal-hal seperti ini pernah berlaku pada kita, semaklah kembali adab-adab kita sebagai penuntut ilmu. 

Mungkin inilah natijahnya jika kita kurang mengambil kira soal keberkatan. Bagaimana ilmu mahu berkat jika tiada hormat pada yang menyampaikan ilmu? Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Kami diperintahkan supaya tawadhu’ kepada sesiapa yang kami pelajari ilmu daripadanya (guru atau ulama’) 

Keberkatan juga boleh hilang jika ilmu yang dicari digunakan untuk bermegah-megah. Semakin berilmu, semakin pula merasakan diri hebat. Rakan-rakan yang lebih rendah pencapaiannya dirasakan tidak sama level dengan dirinya. Maksud sebuah hadis riwayat Ibn Hibban: “Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.” 

Jangan pula mengharapkan ilmu itu berkat jika dicampur baurkan dengan maksiat. Ada sesetengah dari kita yang menghabiskan berjam-jam untuk study. Malangnya, sambil study sambil berchatting dengan buah hati yang masih belum halal. Lebih parah jika study bersama-sama, hanya berdua. Pembakar semangat katanya. Ada pula yang sambil menonton cerita-cerita Korea, Jepun mahupun Barat yang mempunyai adegan yang tidak patut dijamah mata, ataupun mendengar muzik-muzik yang melalaikan jiwa. Alasannya, mahu release tension. 

Sedarlah bahawa ilmu itu suci, ibarat cahaya yang terang. Takkan hadir pada hati yang penuh kotor dengan maksiat, gelap tidak bersinar.Tidak dinafikan, ada saja manusia yang berjaya walaupun adab pada guru tidak dijaga. Ada saja yang cemerlang walaupun meninggalkan solat, melanggar hukum-hukum Allah. Bagaimana mereka boleh berjaya jika ilmu tiada berkat? 

 Keberkatan dan kejayaan itu sesuatu yang berbeza. Sama halnya antara keberkatan dan kekayaan. Ada negara yang maju dan kaya raya tetapi tidak ada keberkatan. Maksiat, penyelewengan dan jenayah berleluasa sehingga rakyat sendiri tidak berasa selamat. Ada manusia yang gaji sudah berpuluh ribu, tapi harta yang ada masih terasa kurang. Luarannya kita nampak senang, tapi hakikatnya, jiwa mereka tidak tenteram. 

Keberkatan tidak boleh ternilai dengan mata kasar. Berkat atau barakah itu sendiri bermaksud bertambah dan berkembang, manakala Al Isfahani mendefinisikannya sebagai tetapnya kebaikan Allah dalam sesuatu perkara. Seseorang mungkin berjaya menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah, tapi kerana tiada keberkatan, ilmu yang dipelajari sekadar di hujung pen. Tidak mampu diamalkan dan langsung tidak membawa manfaat buat dirinya. Hanya berjaya dalam peperiksaan tapi tidak berjaya dalam hidup. Berjaya mendapat kedudukan di dunia tapi tidak di akhirat. 

CGPA itu penting, kerja yang bagus juga penting. Masakan Islam akan dipandang tinggi jika umatnya adalah umat yang mundur dan gagal. Tapi dalam mengejar kejayaan dunia, jangan sampai hak-hak Allah dan hak-hak sesama manusia terabai. Di sebalik assignments yang menimbun, kesibukan mengulangkaji untuk peperiksaan akhir yang semakin hampir, periksalah kembali sama ada keberkatan itu ada bersama kita. Sesungguhnya, iman dan taqwalah yang dapat memandu kita meraih keberkatan dalam safar menuntut ilmu yang panjang ini. 

Jikalau satu penduduk negeri atau satu kelompok manusia mempunyai dua sifat iaitu beriman dan bertaqwa, niscaya kami (Tuhan) limpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi. (Al A’raf: 96) Wahai Tuhan kami, berkatilah ilmu dan kehidupan kami. 

 P/S Keberkatan dalam menuntut ilmu sangat penting tidak kiralah sama ada kita dalam proses pembelajaran di sekolah mahupun universiti. Jangan terlalu mengejar keputusan yang cemerlang, tanpa memikirkan soal adab dengan guru, adab cara belajar dan sebagainya. Semoga kita mendapat keberkatan ilmu daripada Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment