Sunday, May 27, 2012

Nik Aziz sebak pelajar Yik solat berlantai tanah


MACHANG: Di saat pihak tertentu yang tidak sebulu dengan perjuangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menuduh sebagai ‘bapa kafir’, beliau terus menunaikan solat sunat rutin hariannya tidak kira di mana sahaja berada.

Semalam Tuan Guru menunaikan solat sunat syukur sebaik sahaja melihat pelajar menunaikan solat sunat dhuha di bawah pokok tanpa sejadah dan hanya berlantaikan tanah di hujung dewan Madu bersebelahan khemah masing-masing.

Tuan Guru tidak dapat membendung perasaan sedih gembiranya apabila melihat pelajar sekolah aliran Yayasan Islam Kelantan (Yik) menunaikan solat sunat dhuha.

Lebih 1,000 pelajar Yik menghadiri program Muqayyam Tarbawi di Kompleks Tarbiah Islam Ulama (Madu), dekat sini pagi semalam, antara pengisiannya menunaikan solat sunat dhuha.

Tuan Guru yang kebetulan melalui laluan itu untuk merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan di dewan besar Madu, tidak dapat menahan sebak kerana syukur anak didik rakyat Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan negeri begitu tekun menunaikan solat sunat itu.

Kerana sebak dan terharu yang amat sangat, menyebabkan bacaan solatnya sesekali teresak dan terganggu.

Tuan Guru mendedahkan perkara itu sewaktu berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan.

“Di saat-saat anak muda merempit di jalan-jalan, di tengah anak-anak muda lepak di pasaraya, di tengah anak-anak muda leka bersama teman masing-masing di luar Kelantan, tetapi pelajar Yik, anak muda Kelantan tekun menunaikan solat.

“Saya tidak dapat menahan sebak, saya begitu terharu, ya Allah ini hasil yang telah kami dapat hasil pentadbiran kami selama 22 tahun lalu, subhanallah,” ujarnya sekali lagi lagi menahan sebak.

Hampir seluruh pelajar Yik mewakili program yang diadakan setiap tahun selama tiga hari itu.

Selain seminar, turut diadakan slot solat berjemaah, riadah, qiamullail dan lain-lain lagi.

Friday, May 25, 2012

Andai Rasulullah Melihat Aku Ber'Facebook'



Assalamualaikum. Saya cuma nak kongsi sedikit perkongsian daripada usrah tadi. Tajuknya 'Andai Rasulullah s.a.w Melihat Aku Berfacebook'. Apa yang anda nampak bila dengar tajuk tu?
Seperti yang kita tahu, setiap sesuatu ada 'pro and cons'nya kan? Apa kebaikan facebook and apa pula keburukannya ?
Kawan usrah cakap facebook ni dapat menambah kenalan. Ada jugak yang cakap "disebabkan kitafriend dengan bermacam  umur manusia,so sedikit sebanyak kita dapat tahu apa yang berlaku. Contohnya di universiti. Kira dapat info sikit pasal U." Hah, ada jugak yang jawab, facebook ni boleh jadi alat untuk kita menarik minat non-muslim terhadap Islam. Dan dia cerita pengalaman dia ber'chatting' dengan seorang kristian.
Muslimah Dan Facebook
Nampak tak sebenarnya apa yang saya cuba nak sampaikan melalui tajuk tu?
Ok, begini ya anak-anak. Kalaulah kan, seandainya Rasulullah s.a.w masih ada, bersama kita, melihat kita.. agak-agak macam mana? Apalagi bila Baginda tengok kita muslimah ni dengan apa yang kita buat. Peringatan, BILA KITA BERFACEBOO, Agak-agak kena puji atau kena tegur?
Sebelum tu kena check dulu. Apa yang kita buat dengan facebook kita. Bermanfaat untuk orang lain atau tak? Dedah aurat tak kat facebook? Kalau dah tutup aurat pun, masih berbalas komen dengan mesra tak dengan lelaki? Chatting yang tak penting? Gambar tayang sesuka hati? Ada tak gambar yang spesis menggoda gitu. Cuba check!
Kalau Nabi Muhammad s.a.w tengok bagaimana kita ber 'facebook' ni, agak-agak kena puji tak? Masa nak berfacebook tu, apa rujukan anda? Siapa sasaran status anda? Banyak jenis orang di  facebook ni. Ada yang buat facebook macam diari.
"Facebook aku, suka hati aku la nak post apa pun!"
Kemudian, yang sedihnya bila golongan muslimah, yang faham pengertian ikhtilat, yang faham apa yang wajib dia faham, pun ter'jerumus' dalam the bad side of Facebook. The bad side of Facebook? Muslimah? macam mana tu? Begini..
Bagaiman syaitan menghias maksiat, kaburkan pandangan kita. Yang buruk tu nampak macam baik. Faham kan?
Contoh mudah. Kita couple. Couple islamik la kononnya. Datang istilah dari mana pun tak tau la.
"Kita tak pernah jumpa pun dengan boyfriend kita. Mesej-mesej je. Tu pun sebulan dua kali. Mesej yang elok-elok je la. Kejut tahajud, subuh, bagi nasihat dan tazkirah. Kita saling mencintai kerana Allah. Apa tu orang kata, ukhuwwahfillah? Ha, ye la tu. Tak dosa. Kami tahu syariat sebab tu tak couple macam orang lain. Couple macam orang lain tu kan taqrabul zina. Kami ingat dosa lagi tau."
Betul ke ni?
Contoh dalam facebook. Kita post status dengan genre Islamik, Kemudian ada la rijal mari bertandang,
"Bagusla enti ni. Post status yang bermanfaat untuk semua. Kalau enti masuk ustazah pilihanconfirm menang ni."
"Eh, takdelah. Biasa-biasa je. Enta tu lagi hebat. Post hadith memanjang. Kalau masuk Imam Muda, mesti kalah semua orang."
Nampak?

Wahai saudara seangkatan segenderku! Siapa yang buka ruang sebenarnya ni? Kemudian kalau ikhwan tu tiba-tiba jadi mesra, mula la nak bersalah sangka, "Eh,dia ni. Nampak je waro' tapi miang jugak." "Tak sangka dia berani nak hint-hint aku. Dia sedar tak aku ni siapa, dia tu siapa?"
Hmm, Kasihan muslimin. Dipersalah terus menerus. Saudari, jangan salah faham. Bukan saya nak back up pakatan axis Y ni. Tapi kadang-kadang ada sesetengah perkara tu salah kita sebenarnya. 
Seterusnya, post status cinta. Semua status dia tu bertemakan cinta. Cinta islamik popular sekarang ni kat facebook kan? Banyak page-page cinta islamik.
Malah, Buka sahaja facebook. Dekat home tu boleh dikatakan separuh atau lebih yang bercerita soal cinta. Termasuk saya, kadang-kadang.
"Aku mencintaimu kerana agama yang ada pada dirimu. Kalau hilang agamamu, maka hilanglah cintaku padamu."
Tipu kalau tak pernah dengar quote tuh.
"Aku menunggumu kerana Allah."
Remaja, Jangan layu sangat dengan falsafah cinta. Da'ie itu bukan membuang masanya dengan falsafah cinta sahaja. Bimbang mulut menutur nasihat cinta islamik, sedangkan hati sedang memujuk nafsu agar mendekati.
Jangan salah faham. Bukan nak cakap benda ni salah. Baguslah sebenarnya kalau cinta berlandaskan iman. Tapi takkan itu sahaja yang kita fikir? Kalau lah kecintaan terhadap ummah macam ni. Subhanallah. Musuh islam pun gerun tengok kita.
Ada jugak yang spesis 'aku like kau, kau like aku'. Tiap-tiap status dia like. Macam pelik je, status yang tak menarik pun di 'like'. Ni like status ke like tuan status? Status sesama gender tu kurang pula dia nak like. Status yang different gender tu juga dia nak like. Apa tuh orang kata, macam magnet. Kan? Kalau North sama North, dia tolak. North dengan South baru boleh tertarik. Magnet nak main aci-tarik-aci-tolak pun tak apala. Magnet tak kenal halal haram. Tapi yang kita ni. Sepatutnya dah terlebih faham kan.
Lagi satu, pasal gambar. Kalau boleh tak perlu la nak upload gambar yang jelas terang-terangan sampai nampak segala jerawat. Muslimah, Walaupun awak tutup aurat dengan sempurna sekalipun, jangan jadikan perkara itu sebagai lesen untuk awak upload gambar sesuka hati. Kita tak tau hati orang. Kita tak tau apa yang orang pakatan axis Y tu fikir . Jadi jagalah perlakuan kita, mahalkanlah mahar maruah kita.
Kemudian, untuk kamu yang berniqab. Walaupun hanya nampak mata sahaja, janganlah kamu ambil gambar yang agak 'melampau'. Bimbang nanti terpesong niat pula. Moga dijauhkan. Kita berniqob kerana Allah. Sebab nak jadi lebih baik dari sebelum ni. Jadi, rasanya tak perlu untuk kita letak gambar berniqob yang agak jelas. Gambar individual, kalau ramai-ramai lain cerita. Masalahnya gambar yang shooting dekat. Jelas keindahan mata yang mempesonakan. (Sila jangan marah ya, saya pun niqobi jugak :D )

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku berfacebook, apakah reaksinya?
Kecewakah dia denganku? Ya Allah, peliharalah diri kami dari segala yang membinasakan..
Entry ini hanya sekadar perkongsian, pandangan. Take it or leave it. Don't judge a writing by its author. Aku hanya hamba yang dhoif, baru belajar nak kenal Tuhan :')
Jom jadi pelik! Hidup GENERASI GHURABA'!

Sunday, May 20, 2012

Saat Ini Hinakah Aku?


Sahabat-sahabatku, mari renungkan seketika kehidupan kita di dunia ini.

Disebalik semua ciptaan Allah yang tidak terhitung itu, siapa sebenarnya makhluk yang paling istimewa?
Sudah semestinya manusia. Manusia lebih mulia di sisi Allah kerana dilebihkan dengan kelebihan yang sempurna iaitu akal.

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [17:70]

Golongan manusia berakal inilah yang digelar Ulul Albab. Iaitu golongan yang selalu mengingati Allah dengan melaksanakan segala perintahNya tidak kira dalam keadaan duduk, berdiri atau baring.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.”[3:190]

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” [3:191]
Dengan kelebihan akal yang ada, Allah SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai panduan berfikir yang paling berkesan untuk mengatur kehidupan yang mengingatiNya sepanjang masa. 

Apabila Al-Quran Al-Karim yang mempengaruhi akal dalam tindakan, maka akan terbentuklah peribadi unggul sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Bukankah Rasulullah itu manusia yang berakhlak dengan akhlak Al-Quran? Ya, begitulah yang dinyatakan oleh ‘Aisyah Radiyallahu ‘Anha ( Isteri baginda SAW) ketika ditanya tentang akhlak Rasulullah.

“ Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran.”
[Riwayat Muslim]

Maka, manusia berakal yang berfikir dan bertindak mengikut bimbingan Al-Quran akan hidup dengan penuh ketaqwaan. Sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah, panduan hidup orang-orang yang bertaqwa ialah Al-Quran.


ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya. Petunjuk bagi mereka yang bertaqwa" [2:2]

Manusia yang bertaqwa inilah yang akan diangkat darjatnya menjadi lebih mulia berbanding makhluk lain. 


إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." [49:13]

Itu janji Allah, manusia mulia dengan Al-Quran!

Namun, status kemuliaan itu akan hilang sekiranya manusia meminggirkan Al-Quran dalam pemikiran dan perilaku. Manusia sebegini mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami dan menghayati ayat-ayat Allah yakni Al-Quran. Mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat ayat-ayat Allah(Kebesaran Allah). Mereka juga mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. 

Lalu apa jadi dengan kehidupan manusia yang tidak mempedulikan Al-Quran ini?
Sudah pasti mereka akan hidup tanpa matlamat yang jelas dan tepat. Akhirnya, mereka menjalani kehidupan sama seperti binatang bahkan boleh jadi lebih teruk. Lantas kemuliaan yang dimiliki akan bertukar ganti dengan kehinaan. 

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia. mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [7:179]

Itu janji Allah, manusia hina tanpa Al-Quran!

Sebagai manusia yang sedang hidup di dunia, kita hendaklah selalu beringat.
Tempat kembali kita di akhirat kelak hanya dua. Syurga dan Neraka.
Apabila kita hidup dengan penuh kehinaan di sisi Allah, maka Neraka sajalah yang layak bagi kita.
Mustahil makhluk yang hina akan dimasukkan ke dalam tempat yang mulia (Syurga).

Mahu menderita sengsara ditelan Neraka? Terbakar sehangus-hangusnya dijilat azab ?

Renung-renungkanlah diri kita..
Bagaimana dengan kehidupan kita sekarang?
Bagaimana sensitiviti kita terhadap Al-Quran?
Bagaimana keadaan Al-Quran dirumah kita?
Adakah selalu dibaca dan difahami untuk diamalkan?
Atau dibiarkan terus ‘suci dalam debu’ di atas rak almari?


Keputusan memilih kehidupan yang ‘mulia’ atau ‘hina’ terletak pada diri kita sendiri!
pilihlah..

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. [13:11]

Bermula pada hari ini, mari kita pedulikan Al-Quran.

Sumber:
~Akhiratkan kehidupanmu untuk Rahmat Allah!!~ 
Mohamad Aswan Bin Taggiling 
FB: AswanMati Pasti 
eman24434@ymail.com 
mati-pasti.blogspot.com

Ketika Alam Memujuk


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Segala pujian kesyukuran itu adalah wajib bagi Allah,
Tuhan yang mencipta dan memelihara sekalian alam.”

Siapakah pemilik sebenar alam yang terbentang luas ini?

Tidak lain tidak bukan, Dialah Allah. Tuhanku dan Tuhanmu, bahkan Tuhan bagi seluruh kerajaan langit dan bumi. Dialah yang maha menciptakan segala sesuatu. Tidak ada suatu ciptaanpun yang wujud di alam ini melainkan semuanya tunduk patuh terhadap ketetapan dan aturan penciptanya yakni Allah.


ذَلِكُمُ اللّهُ رَبُّكُمْ لا إِلَـهَ إِلاَّ هُوَ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

“Demikianlah Allah, Tuhan kamu. Tidak ada Tuhan selain Dia, pencipta segala sesuatu. maka sembahlah Dia. dan Dia adalah Pemelihara segala sesuatu.” [6:102]

“Allahuakbar!!” ( Allah Maha Besar )

Demikianlah kalimah agung yang pasti terbit dari bibir seorang mukmin yang mengakui kebesaran Allah. Hatinya khusyuk tenang menginsafi kekerdilan dirinya ketika memikirkan tentang kebesaran Rabbnya. Allah Al-Khaliq sememangnya Maha Besar! 

Allah sangat Hebat lagi Maha Bijaksana mencipta serta mengendalikan ciptaanNya. Tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan semuanya memberi manfaat antara satu sama lain.
Lihatlah di sekeliling kita. Segala-galanya dicipta dengan rapi dan penuh ketelitian. Tidak ada silapnya. Cukup teratur dan sistematik.

الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقاً مَّا تَرَى فِي خَلْقِ الرَّحْمَنِ مِن تَفَاوُتٍ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَى مِن فُطُور ثُمَّ ارْجِعِ الْبَصَرَ كَرَّتَيْنِ يَنقَلِبْ إِلَيْكَ الْبَصَرُ خَاسِأً وَهُوَ حَسِيرٌ

"(Allah)Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandanglah sekali lagi. Nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah." [67:3-4]






Cuba kita pandang langit pada waktu siang. Buka mata dan buka hati. Indah bukan? 
Subhanallah. Langit yang tertegak tinggi tanpa tiang itu langsung tidak ada calarnya. Dihiasi pula dengan keindahan awan yang berarak, semakin terserlah melalui sinar mentari yang cemerlang. panoramanya sungguh menakjubkan. Itulah atap teduhan yang terbaik untuk penduduk bumi.




اللّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لأَجَلٍ مُّسَمًّى يُدَبِّرُ الأَمْرَ يُفَصِّلُ الآيَاتِ لَعَلَّكُم بِلِقَاء رَبِّكُمْ تُوقِنُونَ

“Allah-lah Yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu meyakini pertemuan (mu) dengan Tuhanmu.” [13:2]

Pada malam hari pula, rembulan muncul menerangi kegelapan ditemani dengan seribu satu bintang yang unik bergemerlapan. Suasananya sungguh mempesonakan sehingga kadang-kadang memukau diri. Subhanallah. Pernah atau tidak kita memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya Allah menghilangkan bulan dan bintang pada malam hari? Ataupun, Allah tidak menimbulkan matahari sampai bila-bila? Apa yang akan terjadi? Sudah pasti, kehidupan dunia ini akan sunyi-sepi dan gelap-gelita buat selama-lamanya.





Namun, hal ini tidak terjadi bukan? Maka bersyukurlah. Sememangnya Allah telah menetapkan pertukaran malam dan siang serta peredaran planet-planet mengikut orbit agar dapat difikirkan oleh diri kita.

Bumi yang kita pijak ini, terbentang luas dengan nikmat yang sungguh banyak. Bukit-bukau, gunung-ganang, daratan, sungai, dan laut terhampar kemas di dada bumi. Binatang, serangga, burung, hidupan laut serta semua makhluk yang wujud di alam ini hidup dengan mendapat rezeki yang tidak henti-henti daripada Allah. Perhatikanlah pokok-pokok, bunga-bungaan dan sayur-sayuran yang tumbuh dimuka bumi. Mengapa semuanya berbeza warna, bentuk dan rasa walaupun berasal daripada tanah yang sama dan disiram dengan air yang sama? Subhanallah, Allah benar-benar pencipta yang sangat agung tanpa tandingan! 



وَهُوَ الَّذِي مَدَّ الأَرْضَ وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنْهَاراً وَمِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ جَعَلَ فِيهَا زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan Dia-lah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasangan, Allah menutupkan malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” [13:3]


وَفِي الأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَاوِرَاتٌ وَجَنَّاتٌ مِّنْ أَعْنَابٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَى بِمَاء وَاحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَى بَعْضٍ فِي الأُكُلِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

“Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan, dan kebun-kebun anggur, tanaman-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami lebihkan sebahagian tanaman itu atas sebahagian yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berakal. [13:4]

Sesungguhnya, kebesaran Allah yang terbentang hebat di hadapan mata kita ini hanya dapat dihayati oleh orang-orang yang berfikir dengan hati yang khusyu’. Mereka itulah golongan berakal yang dimaksudkan oleh Allah. 


إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنزَلَ اللّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن مَّاء فَأَحْيَا بِهِ الأرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخِّرِ بَيْنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ لآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi. Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang berakal" [2:164]
Sumber: http://mati-pasti.blogspot.com

Coretan Hati Si Pelaku Dosa


Ya Allah..
Hari ini, aku memungkiri lagi janji taubatku
Aku kembali mengulangi kesilapan lalu
Aku merelakan diriku dibuai godaan Nafsu
Aku biarkan diriku ditipu pujukan Syaitan
Sudah berkali-kali aku menzalimi diriku sendiri
Sudah berkali-kali aku merosakkan imanku sendiri
Walaupun aku sedar Engkau Maha Melihat
Walaupun aku sedar adanya Malaikat pencatat
Walaupun aku sedar dosa mengundang azab
Entah apa sudah jadi dengan diriku ini
Terasa Iman dijiwa semakin parah
Semakin lemah dan semakin rosak
Ketakutanku terhadap azabMu semakin kurang
Semakin pudar seakan lenyap
Aduh..teruknya diriku..
Ya Allah
Berilah aku kekuatan dan petunjuk
Agar mampu kutewaskan rayuan Nafsu dan Syaitan
Yang sangat hebat membinasakan diriku
Sangat bijak menjauhkan diriku daripadaMu
Sehingga aku lalai dalam urusan kehidupanku
Sehingga aku lupa dan tidak peduli akan kehidupan selepas matiku

Ya Allah
Bagaimanalah kedudukanku disisiMu?
Adakah diriku yang penuh dosa ini akan terselamat di akhirat sana?
Adakah aku antara manusia yang bakal memenuhi Neraka Jahanam?
Lalu aku hidup dalam binasa celaka buat selamanya?
Aku tidak mahu ya Allah
Aku tidak mahu masuk dalam golongan itu!
Aku tidak mahu hidup senang di dunia tapi sengsara di akhirat!
Aku tidak mahu...
Ya Allah..
Maafkanlah diriku
Tolong maafkan diriku
Ampunkanlah segala dosa yang aku kerjakan selama ini
Ampunkanlah segala dosa yang aku anggap remeh selama ini
Terlalu banyak..tidak terhitung..
Ampunkanlah Ya Allah
Ampunkanlah Ya Allah
Bersihkanlah diriku ya Allah
Sesungguhnya aku sangat berkehendak akan SyurgaMu!!
Aku merayu penuh harap
Lindungillah diriku daripada mengulangi kembali dosa lalu
Suburkanlah kekuatan iman dalam tekadku
Agar aku mampu mengusahakan yang terbaik dalam hidupku
Semata-mata untuk beroleh Syurga FirdausMu

Redhailah diriku Ya Allah
Redhailah keluargaku Ya Allah
Redhailah sahabat-sahabatku Ya Allah
Rahmatilah kami Ya Allah..
Rahmatilah..
Rahmatilah..
Duhai jiwa yang resah..
hayatilah pujukan murni daripada Allah ini..
Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 
[39:53]

Merealisasikan Negara Berkebajikan...PAS & Islam untuk semua!


Kami sokong PAS dan Pakatan Rakyat!
KOTA BELUD, 20 Mei; Sekali lagi Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kota Belud mengadakan ziarah kebajikan di Kg. Timbang yang majoritinya penduduk kadazan/ dusun bukan Islam yang bekerja sebagai petani. Seramai lebih 70 orang penduduk kampung bersama anak-anak menyertai program ini untuk mengetahui isu-isu yang berlaku disekitar Kota Belud khasnya dan Sabah amnya.
Wakil Ket. Pemuda menyampaikan sumbangan kepada penduduk
Kedatangan PAS kali ini yang disertai oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat bertujuan untuk mendekati masyarakat dan menerangkan salah faham tentang Islam dan PAS itu sendiri kepada penduduk bukan Islam. Program ini mendapat sambutan yang baik dan penduduk dapat menerima kehadiran Islam dan PAS tanpa rasa gusar dan bimbang tentang perbezaan agama yang dianuti. Ini kerana kesedaran pentinganya rasa kemanusiaan dan persaudaraan yang terbit di hati masyarakat.
Pemuda PAS membantu pak cik yang uzur
Membantu masyarakat walau beza agama...Islam adil untuk semua.
Semoga masyarakat Kg. Timbang ini sedar dan muhasabah diri kembali tentang kehidupan yang telah dilalui dengan perit serta susah payah yang terpaksa diharungi dan terus melakukan perUBAHan untuk masa depan anak-anak. Rakyat mesti berani membuat perUBAHan untuk kehidupan yang lebih baik dan selesa. Ba, apa lagi...Ini kali lah!
Inilah rumah penduduk kampung...dulu, kini, tidak selamanya jika berani berUBAH!

Wednesday, May 16, 2012

Guru, Ilmu dan Pahala



Daripada Abu Umamah al -Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus ( meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut ) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia". (Riwayat al-Tirmizi)
Selamat Hari Guru kepada semua guru. Jasamu akan dikenang sepanjang hayat. Tetaplah ikhlas dan tabah memikul amanah ini kerana setiap yang engkau berikan akan memberikan kebaikan kepadamu kembali.
Guru oh Guru
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Usman Awang
1979
Selamat Hari Guru!!!...
وَلِيَعۡلَمَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَيُؤۡمِنُواْ بِهِۦ فَتُخۡبِتَ لَهُ ۥ قُلُوبُهُمۡ‌ۗ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ۬
Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
(Surah Al-Hajj 22: Ayat Ke 54)
sumber: www.iluvislam.com