Monday, May 30, 2011

Antara Ribut Hati Dan Nilai Sabar

Bukan hati kita tidak bisa mengerti bukan hati tidak pernah memahami. Cerita dan kehendak yang tertulis sesekali tersimpan di ingatan. Cuba dileraikan namun masih kuat di hati. DIA itu mengerti setiap masa dan sentiasa di sisi. Sewaktu melihat gelak ketawa kanak-kanak membuatkan hati ini tenang dan gembira. Terasa ingin kembali menjadi seperti mereka.

Namun,apakan daya inilah proses kehidupan. Dari lahir sebagai seorang bayi,sehingga meningkat dewasa proses kehidupan sentiasa berputar. Kehidupan yang dilalui hari-hari mengenal erti nikmat dan hikmah dari-Nya. Kadangkala, manusia itu sendiri terlepas pandang, bahkan berpaling untuk merasakan sesuatu yang lebih baik.

Cerita yang mungkin berbeza di antara kita semua menjadikan hidup ini sesuatu yang indah untuk dihargai. Punya persoalan dan jawapan bagi setiap sesuatu. Namun, titik kesabaran dan kejujuran yang perlu kita semat dalam hati sedetik pun tidak pernah goyah pengharapan pada-Nya. Jujurnya, nilai-nilai ini menjadikan kita insan yang tidak pernah mengeluh erti putus asa dan rahmat dari-Nya. Kata ini mungkin tidak bernilai pada yang tidak tahu makna, namun DIA punya jawapan yang tertulis.

Manusia itu punya hati dan akal yang memberikan ruang untuk manusia berfikir. Antara kewarasan akal dan iman yang terpahat di dada menjadikan setiap tindakan yang dibuat seiring dan berlapang dada dengan segala sesuatu. Tergesa-gesa untuk setiap tindakan yang dilakukan menjadikan manusia itu terburu-buru dalam melakukan keputusan.

Rasulullah s.a.w bersabda : "Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam gulat tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya. (HR. Bukhari dan Muslim)

Saya masih ingat sehingga kini bahawa nilai amarah itu tidak mungkin dapat melahirkan satu hasil yang baik. Amarah itu tidak mendatangkan sebarang kebaikan melainkan kemudaratan yang mungkin memberi kesan pada jiwa manusia. Teguhkan iman di hati, perbaharuilah sesuatu tindakan dengan berhikmah.

Nilai kesabaran perlu disemat dan kejujuran itulah utuhnya hati seorang muslim. Lahirnya sebuah naluri hati yang tidak mungkin bisa menipu pandangan hati manusia jika terarah kepada pencipta-Nya yang agung.

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amatlah berat kecuali bagi orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Sungguh hidup ini sesuatu yang indah untuk dinikmati dan dikongsi jika kita tahu bagaimana pelayaran sebuah nakhoda itu berakhir. Qalbu salim adalah hati yang sempurna dicari sepanjang pelayaran seorang insan bergelar hamba.

- Artikel iluvislam.com

Saturday, May 21, 2011

Kurangkan KETAWA

Wasiat ke-5 al-Banna, kurangkanlah ketawa

Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram. Hasan al-Banna.

Ada riwayat yang menunjukkan bahawa kebanyakan ketawanya ialah dengan tersenyum, dan apabila baginda ketawa, baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa ketawa Rasulullah tidak menunjukkan gigi.

Bagaimanapun, semua perlakuan itu cuma sekadar mengingatkan umat Islam selaku umat pendakwah bahawa gurauan, ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa.

Saidina Ali k.w juga menyebutkan bahawa sesekali kita perlu bergurau untuk menyebabkan jiwa rasa terhibur. Tetapi, ini tidak bererti kita perlu berhibur secara keterlaluan.

Maka, Hasan al-Banna telah menyusun dan merintis semula faham ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai'e dan Muslimin yang beriltizam dengan agama Islam ini.

Al-Banna tidaklah sampai mengharamkan gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti baginda Rasulullah s.a.w dan Saidina Ali, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya umat Islam ini kurangkan bergurau dan melebihkan amalan dan tindakan.

Ini kerana, gurauan dan gelak ketawa yang berlebihan boleh mamatikan hati dan fikiran daripada memikirkan nasib dan permasalahan umat Islam yang menderita akibat penjajahan yang berterusan.

Tetapi, jika kita berterusan hidup dalam ketegangan, hal ini akan menyebabkan kerungsingan, kerisauan yang akhirnya mengundang kesan kejiwaan yang parah pula.

Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini ialah kita mewakafkan lebih banyak masa untuk memikirkan serta menyusun tindakan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam. Selebihnya, saki-baki waktu itu diluang untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat bekerja dalam seharian.

Atau jika masa dan kehidupan ini boleh kita pecahkan dalam bentuk peratusan, maka bolehlah diandaikan seperti ini. Iaitu, masa dan kehidupan untuk berfikir dalam hal permasalahan umat Islam ini ialah 70 peratus, manakala baki masa 30 peratus lagi adalah untuk senda gurauan.

Bagaimanapun, peratusan ini hanyalah sebagai gambaran kepada betapa pentingnya seseorang Muslim itu hidup di atas muka bumi ini untuk memperuntukkan kebanyakan masanya ke arah hal yang lebih berfaedah. Sementara, hal gurau senda dan bergelak ketawa itu hanyalah sekadar sedikit sahaja.

Muhasabah
Maka, marilah kita sebagai Muslim yang ingin mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat bermuhasabah mengenai kehidupan seharian kita sendiri. Dalam tempoh 24 jam, berapa banyakkah masa yang kita wakafkan untuk Islam dan Muslimin? Berapa banyakkah masa yang kita gunakan untuk kepentingan masyarakat?

Beruntunglah bagi Muslimin yang banyak meluangkan masa untuk membaca, menghadiri bengkel-bengkel ilmiah dan sebagainya lagi. Jika sebaliknya, maka tergolonglah mereka dalam kalangan mereka yang rugi.

Cabaran untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar memanfaatkan waktunya ke arah kebaikan sangat hebat. Dengan hiburan yang melampau-lampau dalam masyarakat kita hari ini, ditambah pula dengan kurangnya agamawan yang mahir dalam selok-belok penyiaran televisyen, rasa-rasanya agak mustahil kita lakukan semua ini.

Sekiranya lebih ramai agamawan yang mahir dalam bidang pembikinan media elektronik, maka kemungkinan besar masa-masa yang berkualiti dalam kalangan masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan.

Sistem kehidupan bekerja yang dicipta oleh negara kita dan masyarakat antarabangsa pada hari ini ialah jumlah jam bekerja selama 8 jam (9 pagi sehingga 5 petang). Selepas tempoh bekerja, sekurang-kurangnya masyarakat kita akan berada di rumah dan meluangkan waktu bersama keluarga dengan mononton televisyen.

Namun, sayangnya acara-acara hiburan itu dikuasai oleh golongan pengkarya yang melebihkan unsur hiburan, lagho sahaja. Jika ada acara-acara tv yang bermotifkan keagamaan sekali pun, jumlahnya sangat sedikit dan terhad.

Atau, dalam erti kata lain, barangkali kita boleh misalkan begini..

Iaitu program hiburan, filem, drama, nyanyian dan lain-lainnya adalah hampir 80 peratus, dan selebihnya yang berjumlah 20 peratus lagi diperuntukkan kepada program-program yang bersifat keagamaan.

Ditinjau dari sudut ini, akan tercapaikan hasrat, wasiat dan pesanan Rasulullah s.a.w, Saidina Ali k.w dan Hasan al-Banna? Maka, terletak kepada kitalah insan Muslim yang sedar untuk mengubah semua ini supaya masyarakat kita ini akan melebihkan banyak waktunya yang berkualiti.

Iaitu, biarlah mereka lebih banyak didedahkan dengan program-program bermanfaat dan selebihnya adalah program-program yang bersifat santai sahaja.

Wednesday, May 18, 2011

Labibah Ahmad, Ketua Muslimat Ikhwan Muslimun Pertama

Kekuatan Ikhwan Muslimun khususnya di Mesir tidak hanya bergantung kepada penampilan sayap Pemuda dan Ulama semata-mata, tetapi juga bergantung kepada sejauh mana penglibatan Muslimat dalam sepak terajang politik Mesir yang penuh dengan penipuan, penindasan serta memilih warna kulit dalam kancah politiknya.

Penglibatan Gerakan Akhwat (sayap Muslimat) Ikhwan Muslimun turut mewarnai kancah politik Mesir, yang bukan sahaja menitik-beratkan persoalan yang dihadapi golongan wanita, iaitu membebaskan mereka daripada berpegang teguh kepada ajaran agama Islam kepada berpegang dengan ajaran Islam itu sendiri, ini kerana Mesir tidak terkecuali disenaraikan sebagai sebuah negara yang diancam Barat dengan gerakan pembebasan wanita.

Sesungguhnya anggota Akhwat Gerakan Ikhwan Muslimun amat kental dan sinonim dengan Islam. Mereka mengerahkan seluruh tenaga yang ada bagi memastikan agar wanita Islam di Mesir dibela melalui program yang boleh menyelamatkan akidah mereka daripada terjerumus dalam kancah penentangan terhadap hukum-hukum Allah SWT seperti bebas bergaul dengan lelaki tanpa mengambil kira batas-batas yang diharamkan, mendedahkan aurat sebagai bukti menuju kejayaan dan bermacam-macam elemen lain yang melayakkan mereka menjadi ahli neraka.

Antara tokoh wanita yang dimaksudkan berjaya memimpin golongan sejenis dengannya ialah Labibah Ahmad, yang merupakan Ketua Akhwat Muslimat pertama yang juga sayap wanita Gerakan Ikhwan Muslimun yang dikenali sebagai cukup kental dengan pendirian terhadap agama Islam yang menjadi teras kepada perjuangan Ikhwan Muslimun.

Penglibatan Labibah dalam Ikhwan Muslimun

Labibah satu nama besar dalam memimpin sayap wanita Ikhwan atau lebih dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Beliau dilahirkan pada 1292H/1875M di Kaherah dari sebuah keluarga mulia yang menitik-beratkan pendidikan agama, belajar di peringkat rendah di tangan ahli keluarganya yang berpendidikan agama dengan memulakan belajar bahasa Arab dan beberapa ilmu asas agama seperti Sirah Nabi Muhammad s.a.w., ilmu sastera, syari'at Islam dan lain-lain.

Dalam peringkat menengah pula, keluarga Labibah menghantarnya ke sebuah sekolah yang mengajar mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah hingga mampu menguasai semua subjek agama dengan baik serta mencapai pengetahuan luar biasa kerana penguasaannya yang disifatkan sebagai pelajar terbaik ketika itu.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, Labibah menulis bahan-bahan rencana berbentuk Islam kepada beberapa akhbar tempatan untuk disiarkan dengan menggunakan pelbagai nama pena bagi mengaburi pihak berkuasa. Kebanyakan tulisannya berbaur seruan kepada wanita untuk bangkit menyatakan hak mereka yang diabaikan oleh pihak berkuasa.

Mula menggerakkan wanita di negaranya apabila menganjurkan satu revolusi kebangsaan pada 16 Mac 1919 bersama Huda Sya'rawi dan Nabawiyyah Musa (aktivis pembebasan wanita terkenal di seluruh Mesir dengan kelantangan suara mereka menyatakan hak kaum wanita) menghadapi penjajah Inggeris yang menyekat revolusi berkenaan. Revolusi kebangsaan itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar seluruh dunia apabila menyatakan bahawa wanita Mesir bangkit melawan Inggeris yang mengehadkan pergerakan dan hak wanita. Revolusi itu diperkuatkan dengan penyertaan tokoh-tokoh pejuang kebangsaan Mesir ketika itu seperti Qadim Amin, Sa'ad Zaghlul dan Mahmud Samy al-Barudi.

Pada 1923, Huda Sya'rawi mengasaskan Kesatuan Wanita yang masih dilihat oleh Labibah hanya terbatas pada perkara-perkara pokok sahaja. Justeru, beliau mengasaskan pula 'Pertubuhan Kebangkitan Wanita-wanita Mesir', ia meliputi aspek akhlak, kemasyarakatan, keagamaan yang bersandarkan kepada hukum Syariat Islam yang tidak dibuat atau diperkenalkan oleh Huda Sya'rawi.

Pertubuhan yang diasaskan oleh Labibah itu turut menyediakan program ilmu yang memacu wanita untuk menjadi golongan terpelajar dalam apa jua bidang yang diceburi mereka, terutama golongan pekerja kedua-dua sektor kerajaan dan swasta bagi memastikan produk Mesir dalam dihasilkan dengan jayanya.

Tidak cukup dengan itu, Labibah menerbitkan sebuah majalah melalui pertubuhan yang diasaskan, yang dikenali dengan 'Majalah Kebangkitan Wanita' yang beroperasi selama 20 tahun sehingga permitnya dihentikan oleh pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu pada 1942. Majalah itu mendapat sambutan menggalakkan kerana beberapa rencana yang termuat di dalamnya ditulis oleh tokoh-tokoh pemikir Islam termemuka seperti Syakib Arsalan, ar-Rafi'ie, Farid Wajdi serta Muhibuddin al-Khatib.

Hasan al-Banna dapat hidu ketangkasan Labibah

Ketangkasan kepimpinan Labibah dihidu oleh pengasas Ikhwan Muslimun, Imam Syahid Hasan al-Banna apabila Almarhum membuka sayap wanitanya yang dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Imam Hasan mempelawa Labibah untuk mengisi jawatan ketua sayap berkenaan pada 1948, setahun sebelum kewafatan Imam Syahid yang ditembak mati, Labibah menerima pelawaan itu dan mejadi Ketua Akhwat pertama.

Labibah menerajui sayap Akhwat berkenaan selama 10 tahun, akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada pelapis selepasnya. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidup dengan membaca kitab-kitab agama khususnya yang berkaitan dengan Syari'at Islam. Labibah meninggal dunia pada usia 80 tahun iaitu pada 1955M/1385H di pangkuan keluarga tercinta.

Sumber: www.ikhwanonline.com, http://ar.wikipedia.org