Tuesday, February 1, 2011

BANJIR; Bencana alam atau bala Allah?

Sehingga kini media-media massa masih melaporkan keadaan banjir yang melanda beberapa buah negeri seperti Melaka, Johor, Pahang, dan Sandakan serta beberapa tempat lain lagi. Bencana ini bukan sekadar memusnahkan harta benda bahkan telah mengobankan banyak nyawa. Sedarkah kita bahawa tempat-tempat berlakunya PR Kecil semuanya ditenggalami air banjir? Adakah ini sememangnya bencana alam atau bala Allah yang telah dijanjikanNya? Allah telah berjanji akan menurunkan bala di tempat yang berlaku kemungkaran walaupun terdapat hambaNya yang tidak membuat kemungkaran di situ. Semasa proses pilihanraya berlaku, pasti banyak ketidakadilan berlaku. Rasuah, beli undi, undi hantu dan pelbagai lagi tipumuslihat demi meraih kemenangan sehingga mengetepikan syariat Islam. Mungkin sudah tiba masanya Allah membalas kejahatan manusia ini dengan menurunkan banjir di muka bumi ini.
Renungkanlah... setiap yang kita lakukan pasti dihisab di alam barzakh nanti. Semoga Allah menyelamatkan kita dari seksaanNya dan menghindarkan kita dari melakukan kemaksiatan kepadaNya.

Krisis Pergolakan Mesir

Kita pasti sudah melihat dan mendengar di media-media massa tentang pergolakan yang berlaku di Mesir. Beribu-ribu rakyat turun berhimpun tanda protes terhadap kezaliman pemimpin Hosni Mubarak.

Kita pasti terfikir, apakah nasib pelajar Malaysia di sana semasa tunjuk perasaan ini berlaku? Adakah mereka selamat? Adakah mereka memperolehi makanan, minuman dan tempat perlindungan? Ayuh bersama kita doakan semoga saudara seIslam kita di sana selamat dan dinaungi rahmat Allah tidak kira rakyat Malaysia atau tidak.

kita sepatutnya mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku ini. Mengapakah rakyat begitu berani membuat tunjuk perasaan terhadap pemimpin Hosni Mubarak? Pasti ada sebabnya.
Pergolakan yang berlaku di Mesir sekarang sewajarnya memberi pengajaran pada pemimpin di negara lain agar tidak bermegah dengan kemenangan kerana akan berhadapan dengan rusuhan sekiranya menzalimi mereka.

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangan yang mencapai 99 peratus merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding dalam pilihanraya.

Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini? Akibatnya, rakyat telah memprotes kedudukannya sebagai pemimpin tertinggi di negara itu walaupun pada zahirnya mendapat undi yang besar. Rusuhan itu sebenarnya satu mesej yang besar terhadap mereka yang menipu rakyat.