Sunday, March 28, 2010

Aku & Perjuangan (bhg 8-ujian lagi!)



Bermula Januari 2010 ini, aku mula bergelar pendidik. Dengan azam untuk mendidik anak bangsa, aku kuatkan semangat dan terus melangkah untuk melaksanakan amanah ini. Walaupun nampak ringan, tetapi sungguh berat rupanya tugas ini. Mengajar itu mudah, tetapi mendidik itu payah.


Hari berganti hari, bulan bertukar bulan...semakin sesak kepalaku memikirkan anak-anak didik ini. Aku hanya berharap dan berdoa agar mereka memahami hasratku serta berjaya menjadi insan yang berguna suatu hari kelak kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.


Adakalanya seronok dengan tugas ini, tetapi adakalanya aku merasa penat dan letih. Ingin rasanya aku pergi jauh membawa diri. Tapi, andai aku tinggalkan bumi tanah lahir ku ini siapakah yang akan menggantikan diriku untuk memikul amanah ini? Dengan persoalan inilah aku terus kuatkan semangat untuk menggalas tanggungjawab ini.


Selain amanah sebagai pendidik, masih banyak lagi amanah yang terpikul di bahu. Bukan ku pinta, tetapi diberi. Seakan kurasa diriku sudah tidak kuat dan tidak berdaya memikulnya. Tetapi...andai bukan aku siapa lagi?


Dengan masalah adik-adik seperjuanganku, masalah keluargaku...semuanya seolah-olah ditumpukkan kepadaku. Adakah aku begitu kuat untuk menghadapi semua ini? Hanya Allah yang tahu kerana aku sendiri tidak tahu jawapannya. Ya Allah...bantulah hambaMu yang kerdil dan hina ini. Kuatkanlah aku untuk menempuh ujianMu ini. Kekalkan lah aku di jalan dakwahMu ini.

QIAMULLAIL BULAN MAC KRUKB

27 MAC, Sabtu; program qiamullail bulanan KRU KB telah pun dijalankan dengan baiknya. Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang masih sudi hadir dan berjaya mengikuti program ini. Semoga kehadiran adik2 semua dinilai di sisi Allah dan mendapat sedikit input dari pengisian yang diberikan.

khusyu'nye dengar ceramah

Jika qiamullail bulan lalu jumlah peserta mencecah 123 orang, namun bulan ini jumlah peserta meningkat ke 154 orang. Tahniah diucapkan kepada semua ajk pelaksana yan telah bertungkus lumus kerana berjaya melaksanakan program ini dengan kehadiran peserta yang ramai kali ini.

sabar ye dik...

Qiamullail bulan ini yang bertemakan ‘anakku Sazali’ diserikan lagi dengan kehadiran Kak Jannah dari Papar yang menyampaikan slot pengisian yang agak menyentuh hati peserta dan ajk. Diharapkan perkongsian ilmu yang disampaikan dapat dihadamkan, diambil iktibar, dihayati dan diamalkan. Semoga kita tergolong dalam golongan anak2 yang soleh solehah yang menjadi penyejuk mata ibu ayah.

slot pengisian Kak Jannah

Di akhir program ini turut diadakan riadah yang begitu mencabar sekali. Tahniah kepada yang berjaya menempuh cabaran tersebut. Main bukan sekadar main, tapi ada isi tersirat disebalik permainan itu. Maka, fikir2 lah dan renung2 lah....

apa la dorang buat nie?

riadah pagi

Kami dari pihak ajk penganjur dan pelaksana memohon kemaafan andai ada yang tertengking, terteriak, termarah, tersilap kata, terlanjur bahasa sepanjang program ini. itu semua bukanlah niat dihati tetapi tidak disengajakan. Semoga perkenalan kita membuahkan ukhuwah Fillah yang kekal selamanya.

wat pe tu Munir?


Andai ada jarum yang patah,

Jangan simpan di dalam peti,

Andai ada silap dan salah,

Jangan simpan di dalam hati.


Kalau ada sumur diladang,

Boleh kami menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Bulan hadapan kita bertemu lagi...


Jangan serik untuk mengikuti program seperti ini kerana ada sesuatu yang tersirat dan tersurat disebaliknya. Salam ukhwah fillah abdan abada...

Sunday, March 21, 2010

PESANAN BUATMU TEMAN

Sekian lama kita bertemu, banyak suka duka kita tempuhi bersama. Semakin erat ukhwah kita dan semakin mantap diri kita. Namun, sekuat mana pun kita, kita tidak akan mampu melakukan semuanya tanpa Allah dijadikan sebagai pelindung utama. Sehebat manapun kita, kita tidak akan disanjung jika akhlak kita rosak. Jagalah hubungan dengan Allah dan manusia sebaiknya. Hablum minallah hablum minannas.


Perkara utama yang perlu dijaga ialah hubungan kita dengan Al-Khaliq. Solat, bacaan qur’an, zikir al-ma’thurat dan qiamullail perlu dijaga kerana ianya penguat hati dan rohani kita. Sebabnya, banyak ujian dan dugaan yang pasti berkunjung apatah lagi buat insan yang bergelar pendokong dakwah Islam.


Andainya perkara utama ini lulus, namun ianya masih tidak lengkap jika hubungan sesama manusia tidak baik. Terutamanya hubungan dengan ibubapa. Walaupun realitinya kebebasan kita terhalang oleh ibubapa, namun bijaklah mengurus masalah ini. Perlahan-lahan dalam memahamkan ibubapa kita. Ibubapa mana yang tidak sayangkan anaknya, sudah tentu mereka risau jika anak kesayangannya sering keluar rumah. Walaupun kaluarnya kita dari rumah untuk gerak kerja Islam, namun maklumkanlah keluarga kita terlebih dahulu. Patuhilah arahan mereka selagi mana tidak bertentangan dengan syariat Islam. Perjuangan Islam tidak pernah menyingkirkan ibubapa dari pendokongnya bahkan mengutamakan lagi mereka. Pasti ada jalan penyelesaiannya walaupun agak lambat mereka memahami kita. Namun, bersabarlah demi kelancaran gerak kerja Islam yang kita bawa.


Hati guru-guru perlu dititikberatkan kerana Allah tidak redha dengan ilmu kita jika guru kita tidak meredhainya. Silap-silap kita boleh terkandas bukan sahaja di medan akademik bahkan juga di medan perjuangan. Na’uzubillahi min dzalik... Memanglah sijil akademik bukan pengukur tahap ilmu dan keupayaan dakwah kita, tetapi ianya adalah wasilah untuk kelangsungan perjalanan dakwah dan gerak kerja kita. Lagi pula, Allah mengangkat tinggi martabat orang yang berilmu dan masyarakat menghormati orang-orang yang berilmu. Maka, gunakanlah masa dan peluang yang ada dengan sebaiknya.


Hubungan dengan rakan-rakan dan teman-teman juga perlu dijaga kerananya mereka adalah antara mad’u kita. Kita bukan berdakwah dengan pokok-pokok, haiwan-haiwan tetapi dengan manusia. Dan adakalanya teman-teman kita jadi pembantu kita dalam perjuangan ini. Misalnya, mereka membantu dalam akademik seandainya kita mengadakan perbincangan dalam kumpulan. Mereka juga turut membantu perjuangan kita dengan menghadiri program-program yang kita anjurkan. Oleh itu, perbaikilah hubungan yang retak agar tidak berkecai.


Seterusnya, jagalah hubungan kita dengan masyarakat sekitar. Walaupun pelbagai macam tohmahan dan fitnah yang kita terima namun pekakkanlah telinga untuk itu jika kita yakin kita di jalan yang benar. Tetapi, sensitif lah dengan isu agama Islam yang kita cintai. Segala mehnah dan tribulasi itu menjadi penguat kita dalam perjuangan ini.


Sedangkan Rasulullah SAW menghadapi banyak dugaan dan cabaran inikan pula kita manusia biasa. Jadikan sirah Rasul sebagai pedoman dalam perjalanan dakwah ini.


Allahu ghoyatuna,

ar-rasul qudwatuna,

al-Qur’an dusturuna,

al-jihadu sabililuna,

al-mautu fi sabilillah asma amanina...


Allah adalah tujuan kami,

Rasulullah teladan kami,

Al-Qur’an pedoman hidup kami,

jihad adalah jalan hidup kami,

mati dijalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi...

Sunday, March 7, 2010

Qiam Februari KRUKB

Tarikh: 26hb Feb 2010
Tempat: Masjid KB

Alhamdulillah program qiamullail bulanan diteruskan seperti biasa. Kehadiran Qiam kali ini amat memberangsangkan sekali sehingga mencecah 120 lebih peserta walaupun pelajar2 dari SMATS tidak dibenarkan keluar pada minggu itu. Namun, itu tidaklah menjadi satu masalah besar untuk tidak meneruskan program ini.
Qiam kali ini diserikan lagi dengan tayangan multimedia dan kuiz berkaitan sirah Rasulullah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1431H. Tahniah buat SMK Usukan yang menjuarai kuiz tersebut walaupun kebanyakan peserta dari sekolah ini baru pertama kali mengikuti program KRU dan merupakan adik bongsu KRUKB.

Tahniah juga buat SMK Taun Gusi yang mendapat naib johan dan SMK Pekan II yang mendapat tempat ketiga. Harap dengan aktiviti2 seperti ini dapat mempertingkatkan lagi kefahaman ilmu kita.Bertemu lagi kita pada qiamullail akan datang seperti biasa pada hari Jumaat (@ Sabtu) minggu ke4 setiap bulan.