Thursday, May 1, 2008

CERITA...

Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing.
Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci. "Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.
Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa."Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam.
Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk."Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.
Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci..!!

SENYUM :-)

Dari Abu Dzar RA., Rasulullah SAW bersabda : "Engkau tersenyum di depan saudaramu adalah sedekah" (Riwayat Bukhari dari Kitabul Adab)

Senyum itu sedekah? Begitu mudah untuk mendapat pahala sedekah tanpa mengeluarkan wang ringgit atau peluh ! Tapi, benarkah senyum itu mudah? Senyum adalah luahan batin. Ia merupakan ciri khas makhluk yang bernama manusia. Manusia mudah jatuh hati pada seseorang yang tersenyum. Senyum juga mampu menumbuhkan rasa gembira, menyebabkan hati menjadi damai. Senyum juga mampu mengusir duka.

Sebaliknya, tanpa senyum, orang akan menjauhkan diri dari kita. Manusia cenderung untuk tidak menyukai sikap sombong, angkuh, kasar dan bengis…dan semuanya wujud tanpa senyuman. Firman Allah SWT., "Maka disebabkan rahmat Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (QS. Ali-Imran : 159).

Pengikat Hati.

Senyum adalah sarana pengikat hati, pertautan jiwa. Ia mampu memberi kesan lebih daripada apa yang boleh dilahirkan oleh nilai kebendaan. Harta saja tidak mampu menjadi sarana pengikat hati.

Ini terbukti apabila organisasi ekonomi yang bergelumang dengan kebendaan tidak mampu mewujukan ikatan hati. Kesatuan hati dan jiwa mesti diliputi dengan suasana ruh yang terpancar dari ruh Allah. Itulah cinta. Cinta yang mampu melahirkan senyuman dari dalam hati, yang mampu melapangkan dada.

Cinta yang membebaskan sebarang perbezaan dan berasal dari Najran yang kasar. Tiba-tiba saja seorang Arab Badwi datang dan menarik serban Rasulullah secara kasar. Aku (Anas bin Malik) melihat bahu Rasulullah melecet akibat tarikan kasar orang Arab Badwi itu. Orang itu berkata, "Ya Muhammad, perintahkan agar aku memperolehi harta yang Allah berikan kepadamu." Rasul menoleh dan tersenyum kepadanya, lalu memerintahkan agar dia mendapat hadiah.

Beragam Senyum.

Tidak semua senyum itu sejati. Ada senyum yang muncul mewakili perasaan (ibtisamah syu'uriyah), ada juga senyum dusta (ibtisamah ghaira haqiqiyah).
Senyum yang lahir dari perasaan adalah senyum sejati. Ia hadir saat seorang Muslim bertemu dengan saudaranya atau menyaksikan peristiwa yang mengundang senyum. Peribadi Rasulullah SAW sentiasa dihiasi dengan sifat ini. Abdullah bin Harits mengatakan, "Saya belum pernah melihat seorang pun yang paling banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW." (Riwayat Ahmad).

Bukhari juga telah meriwayatkan sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasul SAW tersenyum melihat para wanita yang lari lintang-pukang apabila mengetahui Umar bin Khattab RA akan datang. "Engkau lebih keras dan kasar berbanding Rasul SAW." Kata para wanita kepada Umar RA apabila ditanya kenapa reaksi mereka sebegitu rupa.

Senyum ketika mendengar berita gembira juga termasuk dalam senyum sejati. Sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Bakar RA apabila beliau dipilih oleh Rasul SAW untuk menemani baginda berhijrah ke Madinah. Ketika itu Abu Bakar RA tersenyum hingga menitiskan air mata kegembiraan.

Senyum juga boleh menguntum hasil daripada perasaan kecewa dan sedih. Sebagaimana yang berlaku apabila Rasulullah SAW tersenyum kepada Ka'ab bin Malik (salah seorang dari tiga orang yang tidak turut serta dalam perang Tabuk). Ka'ab mengatakan, "Ketika aku datang kepadanya, aku memberi salam, dan baginda tersenyum…"

Senyum dusta pula adalah hasil rekayasa (budaya atau dalam perancangan melaksanakan sesuatu). Senyuman yang menghiasi diri sekadar memperolehi manfaat dari orang yang dihadiahkan senyuman. Seperti senyuman seorang jejaka untuk memikat, senyuman para jurujual untuk menarik para pelanggan atau senyuman para peniaga untuk menjaga hati pembeli.

Senyum itu mudah? Senyuman yang tulus itu sukar. Senyuman yang dusta juga bukan suatu yang mudah. Oleh itu senyum yang menjadi sedekah juga bukan semudah yang kita bayangkan. Sesungguhnya, "Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan…." (Muhammad Qutb)

AURAT DARI PERSPEKTIF FIZIK

Kajian Kes

Dalam satu perbincangan, seorang siswi menceritakan masalah yang dihadapi berhubung dengan cara pemakaian. Masalah bermula apabila berhadapan dengan persepsi keluarga dan rakan-rakan setelah berubah dari wanita yang berpakaian "liberal" kepada wanita yang menutup aurat sepenuhnya seperti yang disarankan oleh Islam. Pandangan serong terhadap pemakaian tudung labuh dan jubah menyebabkan siswi tersebut berasa tersisih bukan sahaja terhadap pandangan masyarakat umum, tetapi pandangan siswi-siswi yang bergiat dalam program berunsurkan dakwah. Penerimaan terhadap perubahan berlaku agak sukar akibat sikap double-standard dan kronism yang diamalkan. Disebabkan mereka telah mendapat tarbiyah sekian lama dan menganggap diri adalah terbaik, agak payah untuk menerima orang yang baru mengenal erti tarbiyah yang sebenar. Apatah lagi berhadapan dengan ibu yang tidak memahami sehinggakan si ibu menyuruh siswi tersebut kembali kepada pakaian lama.

Penyelesaian

Bercakap tentang perubahan, ia bukanlah satu perkara yang mudah semudah mengalihkan sebatang pen dari satu meja ke meja yang lain. Apatah lagi berubah dari segi pemakaian yang melibatkan persepsi masyarakat sekeliling terhadap personaliti baru yang ingin dibentuk. Adalah penting adanya pemahaman terhadap matlamat perubahan dan pengorbanan yang tinggi agar terus istiqamah dengan perubahan.

Apa yang dilakukan oleh siswi tersebut adalah hijrah kepada kebaikan dan memerlukan ketahanan mental dan mujahadah yang tinggi. Dalam satu perubahan, sokongan dari segi spiritual, emosi dan mental diperlukan bukan sahaja dengan berharap kepada tuhan, tetapi juga dari masyarakat sekeliling khususnya mereka yang faham tentang Islam. Meskipun siswi tersebut baru mengenal erti tarbiyah dan mula bergiat dalam program berunsurkan dakwah, rakan-rakan dalam organisasi dakwah haruslah faham dan tidak memandang diri sebagai individu yang bertaraf tinggi sehingga tidak layak berdamping dengan mereka yang baru menerima hidayah.

Di sini, pentingnya pemahaman tentang konsep inverse response (respon songsang ~ rujuk Pemikiran Sistemik) dalam kehidupan seharian. Setiap sesuatu yang bersifat drastik memerlukan daya yang tinggi untuk diterima dan konsep bersabar terhadap time delay (masa lengah yang diperlukan sebelum satu sistem berfungsi) diperlukan. Sesuatu perubahan memerlukan visi yang jelas berdasarkan ilmu wahyu agar kekuatan diperoleh walaupun keadaan sekitar sukar menerima.

Bagaikan susu yang sebelumnya bercampur dengan najis, kuman, urea dan darah di dalam sistem badan seekor lembu akhirnya keluar sebagai susu yang suci yang mendatangkan kebaikan kepada peminumnya. Dapat disimpulkan bahawa bagaimana sukarnya susu itu keluar dari badan seekor lembu melalui proses perahan untuk bebas dari unsur-unsur negatif, begitulah sukarnya sesuatu perubahan untuk dilaksanakan. Persekitaran memerlukan masa untuk menerima sesuatu kelainan.

Adalah penting pemahaman tentang aurat kerana ia melibatkan penjagaan penglihatan yang berkaitan secara langsung dengan hati dan fikiran yang dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Aurat yang dimaksudkan bukan sahaja terhadap kaum wanita, tetapi juga kepada kaum lelaki di mana sesetengahnya yang kurang sensitif menganggap aurat lelaki tidak berapa penting sehingga memakai seluar yang menampakkan lutut ketika bersukan. Bagi seorang wanita, aurat adalah perkara yang sangat besar dan skop aurat adalah lebih luas pada tubuh mereka berbanding lelaki. Manakala dalam institusi kekeluargaan pula, ibu bapa memainkan peranan penting terhadap pentarbiyahan setiap anak. Bahkan, mereka juga perlu ditarbiyah dan diberi peringatan agar tidak alpa akan arus dunia semasa yang membawa kepada kebatilan.

Haba Pendam Tentu dan Konsep Aurat

Dalam Fizik, konsep ketahanan mental, emosi dan spiritual ditekankan dalam bab haba pendam tentu dan berhubungkait dengan penjagaan aurat. Jika dikaji tentang formula yang digunakan:

J = mc x tetha

J ialah haba pendam tentu: Kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa.

m ialah jisim objek yang menerima perubahan suhu.

c ialah keupayaan haba tentu: Keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa.

tetha ialah perubahan suhu.



Eksperimen 1: Haba Pendam Tentu (Fizik Tingkatan 4- BAB 2.3)

Abstrak/Pengenalan

Dalam kajian ini, "eksperimen" dilakukan ke atas 3 jenis wanita: wanita A- wanita bertudung labuh, berjubah dan menjaga lengan daripada terdedah, wanita B-wanita memakai pakaian biasa tetapi masih menutup aurat dan wanita C- wanita yang lebih selesa memaparkan rambut yang lurus setelah melalui teknik rebonding, menunjukkan keputihan dan kehalusan kulit lengan, mendedahkan kerampingan bentuk badan dan berhias laksana model-model muka hadapan majalah hiburan.

Tujuan

Mengkaji tahap ketahanan spiritual, mental dan emosi wanita terhadap tekanan yang diberi berdasarkan cara pemakaian.

Hipotesis

Semakin baik cara pemakaian yang diamalkan mengikut tatacara yang disyorkan dalam Islam, semakin tinggi tahap ketahanan mental, emosi dan spiritual atas tekanan yang diberi. Begitu juga sebaliknya.

Inferens

Wanita A mempunyai tahap ketahanan yang tinggi, wanita B mempunyai tahap ketahanan yang sederhana dan wanita C mempunyai tahap ketahanan yang lemah.

Pembolehubah manipulasi

c atau keupayaan suatu objek yang mempunyai jisim tertentu menerima suatu kuantiti suhu dalam suatu kuantiti masa mempunyai hubungan dengan ketahanan seseorang terhadap tekanan yang dikenakan. Bercakap tentang konsep aurat, ia mempunyai kaitan dengan suhu. Ramai yang membuka aurat atas alasan panas dan lebih suka bebas dari suatu kongkongan. Seorang pensyarah wanita di UIA dari New Zealand (bukan Islam) mempersoalkan istilah baju kurung. Adakah istilah baju kurung tercipta kerana sifatnya "mengurung" wanita di Malaysia? Sehinggakan ramai wanita sekitar KL dan Selangor lebih suka memakai jeans dan t-shirt?

Pembolehubah malar

m atau jisim objek yang menerima perubahan suhu. Anggap jisim, bentuk badan, bangsa, agama, dan ciri-ciri fizikal ketiga-tiga jenis wanita adalah sama.

tetha atau perubahan suhu. Ia adalah tekanan yang diberi secara automatik oleh Pencipta alam di mana wanita berhadapan dengan perubahan biologi seperti haid (datang bulan), nifas (keadaan yang berlaku semasa bersalin), menopause (berlaku pengurangan hormon estrogen) dan tekanan persekitaran (kerja, pelajaran dan lain-lain).

Pembolehubah bergerakbalas

J atau kuantiti haba yang boleh diserap oleh suatu objek yang mempunyai jisim tertentu dalam suatu kuantiti masa. Ia berkaitan dengan setinggi mana tahap ketahanan spiritual, emosi dan mental ketiga-tiga jenis wanita terhadap daya tekanan yang diberi.

Kaedah

1) Melalui pemerhatian kritikal terhadap perubahan personaliti ketiga-tiga jenis wanita dalam suatu jangka masa.

2) Bertanya secara berhikmah tentang perspektif ketiga-tiga wanita terhadap cara pemakaian.

3) Eksperimen diulang keatas wanita-wanita lain yang mempunyai ciri yang sama.

4) Eksperimen juga dilakukan keatas 2 jenis lelaki: Lelaki A- Lelaki yang menutup aurat dengan baik dan Lelaki B- Lelaki yang suka mendedahkan pusat sewaktu berlengging dan memaparkan lutut serta paha sewaktu bersukan atau berjalan-jalan.

Pemerhatian

1) Wanita A kelihatan humble, tenang, happy, ceria, lembut, sopan, pendiam, bercakap ketika perlu, berhati-hati dengan perhubungan dan berkemampuan mengawal perkataan yang dikeluarkan dari mulut.

2) Wanita B juga kelihatan tenang, ceria, happy tetapi kadangkala kelihatan risau dan bimbang seperti ada sesuatu yang tak kena. Ada masanya terlepas juga kata-kata yang kurang baik ketika marah. Tapi kembali normal setelah beberapa ketika. Penulis yang berjurusan senibina pernah menegur seorang studiomate wanita yang menggunakan spray dengan cara yang salah ketika menyembur model yang dibuat sehingga menyebabkan cat yang terhasil rosak. Lalu dalam keadaan marah, penulis dikatakan penyibuk walaupun niat penulis ingin menegur kesilapan yang dibuat. Penulis terus berlalu kerana tahu tetha sedang dikenakan terhadap studiomate tersebut. Selepas kejadian tersebut, keadaan kembali normal.

3) Wanita C kelihatan kelam-kabut, mempunyai stail tersendiri, kurang menjaga perkataan yang dilafazkan, overexcited, mudah melenting, agak sombong, materialistik dan sosial.

4) Lelaki A kelihatan normal, tetapi lelaki B agak stylo, mudah marah, ego yang terlampau tinggi, sukar menerima nasihat, memandang rendah atas kemampuan orang lain dan lebih agresif.

Kesimpulan

Dari eksperimen yang dijalankan, wanita dan lelaki yang mempunyai nilai J yang tinggi adalah mereka yang menjaga cara pemakaian dengan baik mengikut syariat Islam dan sensitif terhadap aurat. Seperti dalam formula yang diberi:

J = mc x tetha

Oleh itu, hipotesis diterima.

Mengkaji Fizik melalui perspektif Islam

Dalam usaha penyampaian Islam kepada individu yang faham tentang Islam, individu yang kurang faham tentang Islam dan individu yang tidak faham tentang Islam, pendekatan melalui ilmu duniawi berdasarkan kaedah saintifik dan empirik adalah salah satu cara yang sesuai kerana tak semua daripada mereka akan menerima jika menyampaikan melalui ilmu Tauhid. Masalah berlaku di Malaysia di mana persepsi masyarakat berubah iaitu belajar adalah untuk bekerja, bukan belajar untuk mencari ilmu.

Adalah menghampakan situasi yang sama berlaku pada mereka yang mengambil jurusan agama dan mereka yang menghafal kalam-kalam Allah. Jika perspektif ini berterusan, mereka tidak akan mampu untuk mengislamisasi ilmu yang dipelajari, melakukan integrasi antara ilmu duniawi dan ilmu Islam, menyampaikan ilmu pada peringkat antarabangsa agar mesej Islam sampai ke serata tempat seterusnya mencapai kecemerlangan menyeluruh.

Seperti yang tertera dalam misi UIA iaitu Triple ICE (Integrations, Islamizations, Internationalizations dan Comprehensive Excellence), adakah pelajar UIA akan mencapai misi UIA andai masih lagi belajar untuk bekerja? Bukan untuk pelajar UIA sahaja, malah kepada pelajar institusi lain sekali. Tidak malukah kita kepada mereka yang bukan Islam mengkaji ilmu sains melalui al-Quran lantas memeluk Islam atas kesedaran? Di manakah perginya reputasi pelajar Islam yang cuba dipertahankan? Fikirkan...