Thursday, July 10, 2014

GADIS HARAKI

“Kita adalah kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kehinaanlah.." (Amirul Mukminin Sayidina Umar al- Khattab) 

Salam perjuangan buat Gadis- gadis haraki, yang sedia menyerahkan harta dan jiwanya demi Allah, yang hatinya terpasak aqidah perjuangan yang kukuh, yang teguh tanpa ragu-ragu, berintima’ dengan Harakah Islam yang semata-mqata jelas perjuangannya demi menegakkan kalimah Allah hingga mencapai kemenangan atau syahid dipertengahan jalan, moga-moga hingga helaan nafas detik ini masih tsabat dan berkobar-kobar semangatnya ingin meneruskan perjuangan.. 

Saya mengenal Perjuangan dengan penuh rasa takjub, kepada Allah yang menciptakan gadis- gadis haraki yang begitu degil, keras hati, dan tidak mudah mengalah dengan arus demi arus yang merintangi, semua itu ditanggapi sebagai proses tarbiyah yang menjadi makanan dalam perjuangan islam.. 

Mulanya tertanya- tanya atas dasar apa mereka tidak tidur, berbagi kelas dengan meeting, usrah & sebagainya, tapi akademiknya tidak lumpuh malah terus menerus dengan kecemerlangan.. Lewat dua tahun dahulu saya mula mengerti, ketika saya mengenal perjuangan yang saya pilih, maka saya mengenal lebih dalam gadis- gadis haraki ini, dan mengerti, untuk siapakah keletihan mereka itu dicurahkan.. 

Gadis Haraki bukan gadis yang berjalan penuh keayuan, bercakap dengan suara yang hampir tidak kedengaran, dia bukan juga gadis idaman dalam filem-filem cinta islamik, juga bukan yang sentiasa menjinjing novel- novel cinta islamik, jika anda mencari muslimat seperti itu, maka jauhi gadis- gadis haraki, yang tega dan bersuara lantang, bukan mengetepikan rasa malu yang sememangnya kembar bagi seorang muslimat, tetapi terpaksa menggadaikan prinsip selagi tidak bercanggah dengan syariat demi Ummah.. 

Lihat sahaja muslimat- muslimat harakah islam yang sanggup turun meredah banjir lumpur malah berasak-asak ditengah kota di malam tahun baru demi menyampaikan dakwah islam, kepelusuk kampung, malah ke luar negara yang dilanda bencana sekalipun.. Dan tentu sahaja si gadis - gadis haraki mahu menjadi seperti kekanda dan juga bonda mereka dalam medan perjuangan, justeru, gadis- gadis haraki teguh dan tegar menempuh cakap-cakap sindiran yang menyatakan mereka ini tidak tahu malu, tidak pandai menjaga diri dan sebagainya kerana gadis- gadis haraki ini sahajalah yang faham, mengapa mereka perlu turun dan betapa besarnya peranan mereka bukan sekadar tinggal diam dirumah, menonton drama korea mahupun belajar semata- mata.. Kerana Ummah yang rosak akhlaknya dan penuh dengan budaya jahiliyyah, sentiasa melambai-lambai menuntut gadis-gadis haraki turun, atau lainnya menjawab nanti dihadapan Allah, itu pilihan bagi gadis- gadis haraki.. 

Bukan sedikit tukaran yang terpaksa dibayar gadis- gadis haraki ini, tentangan keluarga yang tidak betah melihat anak gadisnya lincah kesana-kemari, sahabat-sahabat berbeza fikrah yang tidak akan mengerti, malah kadang kala gadis-gadis haraki tidak terlepas dari ujian cinta yang sentiasa mengejari, maka si gadis haraki terus menerus mohon ditsabatkan Allah dalam medan perjuangan ini sehingga akhir hayatnya, kerana mereka sedar rantaian perjuangan islam ini sentiasa silih berganti, maka mereka-mereka inilah yang bakal menjadi tampuk perjuangan di masa hadapan nanti, jadi terus- menerus si gadis haraki berdoa agar tidak futur dipertengahan jalan dan semangatnya mati.. 

Si gadis haraki tidak penah jemu mengisi lompong- lompong dalam memahami perjuangan, sentiasa mengisi tsaqafah dengan bahan bacaan, rak bukunya penuh dengan makalah-makalah usrah, kitab-kitab haraki, buku-buku perjuangan dan travelog perjuangan tokoh- tokoh gerakan islam, dan tidak malu bertanya dengan ulama’ dan tidak pernah penat menghadiri usrah dan liqa-liqa kefahaman, agar perjuangan dapat dipegang dengan kukuh, kerana itu si gadis haraki tidak betah tinggal diam dirumah, kerana dia harus melumatkan kefahamannya terlebih dahulu sebelum memanggil gadis lain menyertai perjuangan ini.. 

Malah bukan sedikit si gadis haraki yang tidak mahu masuk ke gerbang perkahwinan kerana bimbangkan kekurangan komitmen yang akan diberikan kepada harakah islamiyah di masa hadapan, maka pejuang-pejuang harakah islamiyah diluar sana, jika anda inginkan suri hidup yang 24 jam dirumah, mengemas, mengulit si anak, tidak keluar berjuang sekalipun ke usrah, maka jauhilah gadis- gadis haraki, dan janganlah membantutkan semangat juang si gadis-gadis haraki..

Maka si gadis- gadis haraki, teruslah pegangi akidah perjuangan ini, yakini, dan berakhlak seperti engkau yang telah ditarbiyah, usah pernah berhenti, atau berniat untuk berehat sebentar, kerana perjuangan ini bersifat terus menerus dan memerlukan keistiqamahan, percayalah rehatmu yang awalnya dua bulan, bisa menjadi 4 bulan, setahun atau selama- lamanya engkau mungkin tidak akan menjejaki lagi jalan juang ini.. 

Usah pernah jemu nasihat menasihati kerana sahabat- sahabatmu bukanlah manusia sempurna, yang kadangkala tewas dalam siri- siri ujian yang Allah timpakan demi menguji keimanan mereka, ribat tangan mereka sehingga kehujung jalan, kekuatan ukhwah kerana Allah itu luarbiasa gengaman hatinya, maka jagalah mereka seperti engkau menjaga dirimu sendiri.. 

Sememangnya tidak dapat kita nafikan betapa halusnya perasaan seorang muslimat, malah ramai dikalangan muslimat yang tewas hanya kerana ditegur dalam mesyuarat secara tidak berhikmah, ingin melarikan diri dari perjuangan semata- mata kerana merasa diri dipinggirkan berbanding teman-teman.. 

Justeru, gadis-gadis haraki yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini, ayuh kita ketepikan soal hati dan perasaan dan sentiasa melatih diri menjadi gadis- gadis haraki yang teguh hati dan sentiasa ikhlas dalam perjuangan, bukan kerana individu kita berjuang, bukan jua kerana pangkat dan sanjungan tertentu, tapi benar-benar kerana Allah! 

Doakan saya terus stabat, terus berusaha untuk mantapkan diri seperti kalian, terus memperbanyakkan amalan, sebab saya sangat cemburu melihat kalian..  

~C&P~

Monday, April 21, 2014

JANGAN BERSEDIH, ALLAH BERSAMA KITA 

Apabila asyik duduk termenung mengenangkan nasib, akhirnya tersedar dari lamunan. Rupanya kehidupan ini hanyalah sementara. Akhirat sana kekal abadi, menanti saat tiba masanya dunia ini berakhir. Ujian yang sedikit itu telah melupakan diri tentang nikmat Ilahi yang tidak terhitung. Ya Allah... betapa dhaifnya diri ini... Jadikanlah ujian ini untuk menambahkan iman bukan berputus asa dari rahmat Tuhan.

...maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)". [Ali-Imran: 173]

Pengalaman sering mematangkan kita. Siapa yang tidak mengalaminya tidak akan memahami maksudnya. Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal dia akan mengetahui tentang keajaiban tawakkal. Bila hati insan bulat kepada Ya Rabb, dia akan menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya.

Kita sering lupa kita masih punya kehidupan akhirat. Apabila kita melihat dunia ini dari dimensi akhirat, kita akan merasakan dunia ini sangat kecil... kehidupan ini sangat luas. Masihkah kita ingat nikmat Allah kepada kita? Syukurilah segala nikmat yang Allah berikan kepada kita kerana nikmat Allah itu tidak terhitung banyaknya. Apa yang Allah kurniakan kepada kita lebih dari harapan kita.

Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. [Ibrahim: 34]

 Pesan Rasulullah....
“La tahzan, innalLaha ma’ana”
"Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". [At-Taubah: 40]

* * * * * * * * * *
Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam...
Ya Allah, thabatkan langkahku dan sahabat-sahabatku dalam  perjuangan dan di jalan dakwah ini...


19 April 2014 (Sabtu), 9.30 pm

Saturday, April 12, 2014

Jalan Yang Perlu Ditempuh

Kelemahan dan ketidakupayaan diri dalam menyelesaikan masalah-masalah yang menghimpit hidup tidak seharusnya menjadi sebab untuk meranapkan tangga-tangga harapan bagi mengecap masa depan yang lebih cerah. Lemah tidak menandakan kita perlu putus asa walaupun berasa diri sudah kehilangan makna bagi meneruskan hidup anugerah Allah ini. Sekiranya persepsi begitu diprogramkan dalam benak, senang sekali cara penyelesaiannya. Tiadalah wujud istilah ‘berjuang’ dan ‘jihad’ dalam kamus kehidupan seseorang muslim.
Seandainya seseorang itu mempunyai kematangan dalam bereaksi dengan kesulitan hidup ini, ‘lemah’ akan diberikan kesimpulan agar ‘perlu usaha lebih gigih’ dan bukan pula akan ditafsir sebagai ‘gagal’, bahkan seharusnya ditafsir sebagai ‘belum berjaya’. Jika kita perhatikan betul-betul, bukankah istilah ‘gagal’ dan ‘belum berjaya’ terdapat perbezaan maksud yang ketara? Kata hukama’, “Kegagalan sebenar bukan ketika kau jatuh dan tewas dalam suatu usaha , tetapi ketika kau sudah berputus asa untuk bangkit kembali.” Seringkali emosi kesedihan melupakan kita terhadap firman Allah ini, “Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya.”
Meletakkan daya keterbasan dalam usaha dan kegigihan merupakan satu tindakan yang menyebabkan kita melihat ketidakupayaan diri itu sebagai suatu kelemahan hakiki walhal tidak. Meskipun kita tidak menafikan antara bentuk kelemahan manusia adalah mempunyai had dan batas daya upaya, tetapi adakah kita tahu dimana had dan batas itu? Ternyata tidak. Kegagalan dan kelemahan dalam perkara-perkara yang seolah-olah sulit untuk diselesaikan tidak menandakan kita sudah sampai kepada had kita, sebaliknya memberitahu kita dimana kesilapan yang perlu diperbaiki dan diberi tambah baik untuk melepasi had sebelumnya. Daripada situ kita akan melihat “Kesempurnaan manusia berselindung disebalik ketidaksempurnaannya.” Kerana kesedaran terhadap sifat tidak sempurna inilah mendorong kita untuk sentiasa menuju sempurna.
Cuba kita mengkaji latar kehidupan orang-orang yang berjaya, mereka lebih banyak menghadapi kegagalan berbanding orang-orang yang gagal! Ini bukan sesuatu yang ironi, ini sesuatu yang masuk akal dan rasional. Hal ini kerana mereka telah mengumpulkan tenaga dan kekuatan melalui pengalaman yang banyak dan mengkaji serta belajar cara untuk mengatasi titik-titik kelemahan tersebut dengan teliti bagi terus mencari jalan untuk sampai ke puncak. Hal ini tidak lain dan tidak bukan memerlukan azam dan semangat tanpa padam agar langkah-langkah menuju puncak itu sentiasa konsisten.
Fikirkan pengajaran ini baik-baik. Kegagalan adalah berpunca daripada kelemahan diri dalam mengendalikan sesuatu perkara, walaupunbegitu kegagalan juga merupakan platform untuk kita mengatasi kelemahan diri tersebut. Kita tidak akan jumpa seseorang yang mencapai hidup senang tanpa pernah melalui sebarang kesulitan dan kegagalan. Bahkan kegagalanlah yang mengajar mereka erti berdikari dan matang.
Jika kita menyelak kembali satu per satu lembaran sejarah sekalipun, manusia-manusia genius yang pernah dan masih wujud di atas muka bumi ini tidak semua yang mengecap hidup senang dengan cara yang senang. Sebaliknya ada hidup mereka lebih sulit untuk mencapai kesenangan. Seorang gadis yang dahulu terkenal kerna geniusnya dia, bila dihantar belajar ke luar negara menjadi pelacur. Seorang pemuda yang sangat genius dalam matematik waktu kecilnya, apabila dijejaki kembali kini hanya bekerja sebagai penebar roti canai. Genius tidak memberi kelebihan pun seandainya diri tidak bijak untuk bersikap reflektif secara kreatif dan kritis terhadap masalah dunia yang semakin mencabar. Tiada apa yang mampu menjadikan kita istimewa melainkan usaha dan kegigihan. Allah itu adil. Semua manusia adalah sama.
“Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum selagi kaum itu tidak berbuat usaha untuk mengubah diri mereka sendiri” Ar-Ra’ad 13 : 11
“Bulat tidak datang bergolek, pipih tidak datang melayang”, pepatah ini jelas mengatakan bahawa beginilah lumrah dunia yang harus ditempuh. Segalanya bergantung pada pilihan diri dan usaha kita sendiri. Tiada rezeki dan kejayaan yang datang secara tiba-tiba. Usaha pula perlu kepada keazaman dan tekad yang kuat. Paling penting keyakinan dan kepercayaan kita kepada rahmat Allah yang sentiasa menaungi! Allahlah yang beri senang dan susah. Justeru usaha yang gigih harus tidak mengetepikan doa dan tawakal kepada Allah. Kejayaan juga bukan akan kekal, pasti ia akan silih berganti dengan kegagalan. Dan akhir sekali, kita pilih hendak ke Syurga atau Neraka berdasarkan apa yang telah kita usahakan. Kita yang melukis takdir akhir kita.
Tidaklah Allah menghidangkan semua ini untuk main-main namun Dia ingin menguji siapakah di antara hamba-hambaNya ini yang betul-betul ikhlas mengabdikan diri kepadaNya. Sekiranya Allah ingin menjadikan seluruh manusia ini hidup selesa tanpa kesusahan, memperoleh iman tanpa kepayahan dan mujahadah, hal itu tidaklah susah bagi Allah. Cuma nanti tiadalah beza manusia dan malaikat. Sedangkan usaha, kegigihan dan mujahadah inilah yang membuatkan kita lebih mulia daripada malaikat kerana kita mencari iman melalui ilmu dan ketekunan diri dengan niat yang benar. Ya. Hanya niat yang benar (kerana Allah) sahaja akan membuatkan manusia tidak putus asa bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Kerna pekerjaan dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah, bukan demi kepuasan diri yang sebenarnya cintakan dunia.
Wallahu Ta’ala Alam~

Jangan Berhenti Berharap

Pada suatu hari, seorang lelaki telah membeli sebuah tembikai. Kemudian, dia membawa tembikai tersebut pulan dan memberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok. Maka, si isteri mula marah-marah melihatkan keadaan tersebut.
Maka bertanyalah si suami kepada isteri, “Kepada siapakah engkau tujukan marahmu itu, adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau Pencipta buah tembikai itu?”
Terdiam si isteri menderngar pernyataan tersebut. Si suami meneruskan lagi kata-kata.
“Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barang yang terbaik juga. Bahkan si penanam juga sudah tentu mengharapkan tanaman yang terbaik. Adakah marahmu ditujukan kepada Pencipta buah tembikai ini? Bertakwalah kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuannya”.
Maka menangislah si isteri atas kesilapannya. Si isteri lalu bertaubat dan beristighfar.
Ibarat Buah Tembikai
Sesungguhnya, setiap daripada kita pasti menginginkan kehidupan yang indah, damai dan bahagia tanpa diganggu oleh mana-mana anasir yang mampu merobek kebahagiaan yang kita alami. Kita impikan seluruh kehidupan kita ini berjalan dengan sebaiknya, malahan kita selalu meminta kepada Yang Maha Kuasa supaya diberikan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Namun, saat ujian datang menjengah dalam hidup kita, bagaimana penerimaan kita? Bagaiman reaksi kita dalam menghadapi segala dugaan yang kita rasakah tidak pernah putus?
Adakah kita redha menerima segala ujian yang diberikan?
Adakah kita terus-terusan menyalahkan Si Pemberi Ujian?
Atau adakah kita hanya bermuram durja lantas terus berhenti berharap kepadaNya?
Kita sentiasa mahukan buah tembikai yang manis, merah isinya dan mengandungi banyak jus. Namun kadang-kala, selepas tembikai dibelah, harapan kita seakan-akan hancur melihatkan buah yang disangka manis adalah tawar, isi yang disangka merah rupanya merah pucat, bahkan jus pula kurang. Lantas kita terus menyalahkan pembeli, penjual dan penanam tembikai itu; tanpa disedari kita seolah-olah menyalahkan Pencipta tembikai itu.
‘Urwah bin Al-Zubair Memuji Si Pemberi Ujian
Suatu hari, ‘Urwah diundang oleh Khalifah Walid bin Abdul Malik untuk datang ke istananya di Syam. Dalam perjalanan, kaki ‘Urwah merasakan kakinya terkena sesuatu. Tidak lama kemudian, timbul sebuah bisul di kakinya lalu pecah dan menjadi sebuah luka.
Tiba di Syam, tabib datang untuk memeriksa kaki ‘Urwah. Tabib kemudian menyimpulkan bahawa luka itu merupakan satu jangkitan yang mana jika tidak segera dihentikan boleh merebak ke seluruh badan. Dan satu-satunya cara untuk menghentikan penyebaran jangkitan itu adalah dengan memotong kaki tersebut.
‘Urwah setuju kakinya dipotong. Tabib menyarankan agar ‘Urwah meminum ubat bius terlebih dahulu sebelum operasi dilaksanakan agar dia tidak berasa sakit, tetapi ‘Urwah menolak. ‘Urwah ingin tetap berada dalam keadaaan sedar sehingga dapat mengingat Allah meskipun harus merasakan kepedihan yang sangat menyeksa. Akhirnya, tabib itu memotong kakinya dengan gergaji, sementara ‘Urwah dengan penuh kesabaran menyaksikan hal itu tanpa mengeluarkan suara kesakitan.
Pada waktu yang sama, seorang anak ‘Urwah yang ikut bersamanya dalam perjalanan tersebut mengalami kemalangan. Seekor keldai telah menendangnya sehingga mati. Apabila mendengar berita sedih itu, ‘Urwah tidak memberi komen apa-apa. Hanya ketika dalam perjalanan pulan ke Madinah, terdengar ‘Urwah berkata,
“Ya Allah, Engkau memberiku tujuh orang anak. Jika Engkau mengambil satu orang, Engkau masih meninggalkan enam lainnya. Dan Engkau memberiku empat anggota (dua tangan dan dua kaki). Jika Engkau mengambil salah satunya, Engkau masih meninggalkan tiga yang lain.”
Di saat itu, ‘Urwah bin al-Zubair masih lagi dapat menemui alasan untuk memuji Allah meskipun dalam musibah yang memilu hati. MashaAllah.
Tarbiyyah Daripada Illahi
Tanpa kita sedari, ujian yang menjenguk kita merupakan percikan tarbiyyah daripada Illahi. Mungkin pada awalnya kita mengalah, kita sendiri tercungap-cungap dalam lelah. Terkadang kita rebah, namun itu tanda bukan kita terus mengalah. Mencari-cari resolusi terhadap permasalahan yang dihadapi. Ujian didatangkan supaya kita dapat mempelajari sesuatu dan seterusnya dapat menguatkan diri kita , mencekalkan hati kita terhadap hamparan ujian yang menghadiri. Perlahan-lahan tanpa disedari, kita belajar erti menghargai dan bersabar dengan setiap ujian yang diberi.
Oleh itu, optimislah dengan segala ujian yang diperoleh. Kita tidak tahu apa yang Allah sembunyikan dari kita. Hanya yang pasti, semuanya terkandung 1001 hikmah yang tersembunyi yang sememangnya khas didatangkan daripada Illahi. Teringat akan kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, “Jika kita mendapat apa yang kita tidak suka, sukalah dengan apa yang kita dapat. Jadikan buah limau yang masam itu sebagai minuman yang manis.”
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah: 216)
Ujian yang menimpa itu menunjukkan kasih sayang yang dihamparkan kepada kita daripadaNya. Jarang kita tsedar bahawa sebelum ujian datang menjengah dalam kehidupan kita, kita begitu lalai dan leka dalam mengingatiNya. Kerana tidak mahu kita terus terbuai dengan keindahan dunia yang sementara, kita diuji supaya kita sedar bahawa segalanya tidak kekal abadi, melainkan di akhirat nanti.
Teruskan memanjat pengharapan dan pertolongan kepadaNya supaya kita sedar kita hanyalah sekadar hamba kerdil yang memang perlu diuji. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buat diri. Teruskan pengharapan kepadaNya. Jangan sesekali kita berhenti berharap kepadaNya.
Sama-sama ambil ibrah daripada kisah ‘Urwah bin Zubair yang dihadiahkan musibah, namun tetap memanjatkan syukur tanpa sedikitpun kufur!
“Sekiranya ada masalah yang tidak selesai, beristighfar sebanyak-banyaknya. Nescaya Allah akan membuka jalan keluar. Apabila terasa sentuhan Allah, segala ujian, cubaan dan kesulitan yang datang akan menjadi seperti cucuran air hujan atau hembusan angin sahaja.”
~Sheikh Ibnu Taimiyah~
sumber:  http://www.iluvislam.com/